Gusi Berdarah

Kenapa gusi boleh berdarah?

Gusi berdarah adalah salah satu tanda masalah gusi. Biasanya gusi berdarah juga datang dengan simptom-simptom lain seperti :

  • gusi bengkak

  • mulut berbau

  • rasa sensitif dan sengal bahagian gusi dan gigi.

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda yang disebut tadi, anda kebarangkalian mempunyai penyakit radang gusi ataupun dikenali dengan istilah 'Gingivitis'.

Adakah gusi boleh berdarah disebabkan trauma?

Ya. Ada keadaan di mana gusi berdarah disebabkan trauma yang terjadi apabila terjatuh dan mengenai kawasan gusi dan gigi, tergigit makanan atau benda tajam dan sebagainya. Sekiranya ini punca gusi berdarah anda, jangan berlengah terus ke klinik gigi berdekatan atau bahagian kecemasan mana-mana hospital untuk dapatkan rawatan dan menghentikan pendarahan yang berlaku. Anda tidak mahu pendarahan tersebut menjadi semakin serius.

Kenapa gigi saya berdarah walaupun tiada trauma?

Andai tiada trauma atau hentakan, gusi berdarah kebiasaannya berkait dengan perkara pertama tadi iaitu radang gusi. Radang gusi berpunca daripada penjagaan kesihatan pergigian yang kurang memuaskan. Tidur tanpa memberus gigi, plak yang tersembunyi yang tidak dibersihkan, karang gigi yang berkumpul tidak dibersihkan dan teknik memberus gigi yang salah.

Saya takut nak gosok gigi apabila gusi berdarah...

Ramai pesakit yang takut dan risau dengan keadaan gusi berdarah dan berhenti dari menggosok gigi. Perkara ini tidak betul malah menerukkan lagi masalah gusi. Teruskan memberus gigi seperti biasa dan jangan lupa dapatkan temujanji di klinik gigi untuk pemeriksaan.