Sakit Gigi
Sakit gigi sering kali dipandang remeh oleh masyarakat kita. Ramai yang beranggapan sakit gigi ialah sakit kecil dan sementara tidak seperti masalah-masalah kesihatan yang lain walhal sakit gigi boleh mengganggu aktiviti harian kita malah lebih teruk boleh menyebabkan jangkitan kuman.
Adakah mengambil ubat tahan sakit boleh merawat masalah gigi yang sakit?
Ada yang mengambil pendekatan yang mudah dengan terus ke kaunter farmasi dan mengambil ubat tahan sakit dan antibiotik. Ada juga yang menggunakan kaedah penyembuhan tradisional. Tidak semuanya salah tetapi tindakan-tindakan tersebut hanyalah menghentikan simptom sakit buat sementara dan tidak menyembuhkan sakit secara total
Apa yang perlu dilakukan jika sakit gigi?
Punca sakit perlu diketahui dahulu sebelum rawatan dibuat. Tidak boleh melulu dan mendiagnos sendiri penyakit. Satu penyakit tidak sama kaedah rawatannya dengan yang lain walaupun mungkin pesakit menghadapi simptom yang sama.
Sakit gigi boleh berkait dengan gigi itu sendiri atau kawasan-kawasan lain di dalam mulut seperti gusi, lidah, lelangit, bibir dan lain-lain. Sakit gigi juga ada banyak cabang dan intensitinya. Adakah gigi sakit berdenyut, pada waktu malam sahaja, semasa minum atau makan atau kita tertukar sakit dengan sensitif.
Bertanyalah pada yang pakar. Siapa lagi kalau bukan doktor gigi. Dapatkan nasihat mereka dan segeralah dapatkan rawatan sekiranya diperlukan.