Gigi Patah
"Doktor, anak saya jatuh dari basikal, gigi dia patah. Tolong tengokkan doktor"
"Saya rasa gigi saya rapuh doktor, gigi depan saya patah"
"Saya accident dengan motor tadi, sakit dekat bahagian gigi ni, saya rasa patah doktor"
Di atas ialah antara rungutan atau 'complaint' daripada pesakit yang menghadapi gigi patah.
Andai gigi patah disebabkan kemalangan dan trauma, doktor akan melakukan xray untuk melihat keadaan dalam gigi adakah patah atau retak mengenai kawasan akar. Rawatan selanjutnya bakal dilakukan setelah pemeriksaan dan diagnosis dibuat.
Adakah gigi yang patah boleh dirawat?
Bagi gigi patah tidak melibatkan akar, gigi boleh dirawat dengan hanya tampalan sewarna manakala sekiranya sudah mengenai kawasan akar dan terdapat jangkitan kuman, biasanya rawatan akar akan dibuat terlebih dahulu. Gigi dikembalikan estetik dan fungsinya selepas itu dengan banyak alternatif salah satunya ialah sarung gigi.
Gigi yang berlubang (karies) pun boleh patah?
Gigi patah juga berlaku sekiranya karies gigi (gigi berlubang) sudah merebak dan menghakis banyak permukaan gigi dan disebabkan daya kuat semasa mengunyah sebagai contoh, bahagian terhakis tadi patah. Sekiranya ini berlaku, gigi boleh ditambal dan digunakan seperti biasa selepas itu.
Gigi ialah tulang yang paling keras di dalam tubuh kita, namun sekiranya 'malang tidak berbau' dan kesihatannya diabaikan, struktur unik dan paling keras ini juga akan runtuh. 'Beringat sebelum terkena' dan cegah dengan segera.